Sejarah dan kegunaan Tajau

Perarakan tajau diraja sempena upacara pemakaman Raja Thailand Bhumibol Adulyadej pada 2017.

Tajau mula diperkenalkan kepada masyarakat Borneo oleh saudagar Cina yang berdagang seawal abad ke-12,[5] sekitar zaman Kesultanan Melayu Melaka,[6][7] apabila mereka menjual tembikar ini kepada masyarakat setempat untuk mendapatkan bahan-bahan seperti padi, beras dan rempah-ratus melalui perdagangan barter.[5] Juga diceritakan bahawa tajau ini dikenali oleh masyarakat Iban yang keluar berperang dan membawa pulang habuan daripada musuh ketika melakukan ngayau atau memenggal kepala.[5]

Pada mula-mulanya masyarakat berkenaan menyimpan barang-barang berharga bagi menampung kehidupan seperti padi, beras, air, tuak, pakaian, wang dan sebagainya.[8] Bagi suku Iban, lama-kelamaan tajau dilihat sebagai barang pusaka yang teramat suci kerana dipercayai "semangat" yang boleh dilihat oleh pemiliknya, dan oleh itu dijadikan objek penting dalam sebarang upacara ritual seperti perubatan, memohon hajat, membawa hantaran perkahwinan dan perayaan. Tajau juga digunakan untuk upacara pengebumian yang mana ia terletak di atas kubur sebagai baya iaitu lambang membawa bekalan si mati ke alam seterusnya.

Begitu bernilainya tajau sehingga dijadikan bukan sahaja barang pusaka keluarga, bahkan umpama mata wang primitif khususnya dalam masyarakat Iban. Sebelum wujudnya undang-undang moden, masyarakat Iban pernah menggunakan tajau sebagai pembayaran denda bagi kesalahan membunuh secara sengaja mahupun tidak sengaja kepada keluarga mangsa melalui adat pati' nyawa, atau menebus hamba orang lain untuk dijadikan ahli keluarga menerusi adat nembang ulun.[5]

Menyimpan mayat

Juga terdapat bukti bahawa tajau dijadikan umpama keranda untuk menyimpan mayat, terutamanya bagi kaum Kadazan-Dusun dan Murut yang tertumpu di Sabah. Mengikut adat Murut, mayat dimasukkan ke dalam tajau besar yang dipanggil bangkalan selepas dua hari kematian, dan pada hari selepas malam keempat, tajau diusung oleh perarakan ke tanah perkuburan.[9] Adat bangkalan ini boleh dikatakan sudah ditelan zaman dek perubahan moden dan pertukaran agama.

Amalan menyimpan dan mengangkut mayat dalam tajau sebenarnya tidak terhad kepada suku-suku Borneo, malah di Thailand, upacara pemakaman kerabat diraja menampilkan tajau berhias yang dipanggil phra kot yang terletak di dalam balairung istana untuk istiadat penghormatan terakhir, dan akhirnya dibawa berarak ke pancaka untuk majlis persemadian. Pada mulanya tajau itu sememangnya menempatkan jasad kerabat diraja, tetapi kebelakangan ini phra kot dibuat sebagai hiasan, sedangkan jasad sebenarnya ditempatkan dalam keranda di tempat tersembunyi, demikianlah bagi istiadat penghormatan terakhir bagi Raja Rama IX pada 2016–17.[10]

Rujukan

WikiPedia: Tajau http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cac... http://sains.kompas.com/read/2010/06/07/08372738/K... http://www.urangsabah.com/adat-kematian-kaum-murut... http://humabetang.web.id/dayak/budaya/2013/mengena... http://ww1.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20... http://dwnbudaya.dbp.my/wordpress/?p=854 http://www.smc.gov.my/modules/web/pages.php?mod=do... https://webcache.googleusercontent.com/search?q=ca... https://www.timeout.com/bangkok/blog/in-pictures-t... https://sabahan.com.my/tajau-warisan-generasi